Selasa, 09 Juni 2009

JATI DIRI MUSLIM

TANGGUNGJAWAB MEMELIHARA JATI DIRI MUSLIM
16 Jun 2006 / 19 Jamadilawwal 1427 H



الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ أَمَّا بَعْدُ.

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! إِتَّقُوْا اللهَ، حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru diri saya dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama bersyukur dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang dilarangan, mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman, bertaqwa serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Islam menganjurkan umatnya agar berakhlak dan berbudi perkerti mulia dalam setiap perbuatan mahupun tuturkata. Kerana kemuliaan dan kehormatan seseorang itu akan dinilai melalui ketinggian keperibadian akhlak. Sejarah telah membuktikan bahawa umat yang maju adalah umat yang memiliki keperibadian akhlak yang tinggi sebaliknya umat yang tidak berakhlak akan menyebabkan ia menjadi lemah dan membawa kehancuran.

Kerana itulah, misi utama diutuskan junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sebagaimana sabdanya :


إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَقِ

Maksudnya : “ Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ”

( H.R. Thabrani )

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Dewasa ini, kita sering mendengar tentang masalah yang menimpa umat Islam. Di mana umat Islam samaada di negara kita mahupun di seluruh dunia sedang menghadapi krisis keruntuhan akhlak yang cukup membimbangkan. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung dan diatasi sudah pasti akan membawa umat Islam kelembah kehinaan dan kemurkaan Allah s.w.t.

Terdapat segelintir umat Islam yang telah hilang keperibadian sebagai seorang mukmin sejati, mereka seolah-olah hidup kembali seperti di zaman jahiliah. Dan yang lebih parah lagi terdapat umat Islam yang memisahkan dan mengasingkan urusan dunia dengan urusan hidup seharian bahkan beranggapan bahawa agama tidak memberi apa-apa sumbangan dalam pembangunan bangsa dan negara. Mereka percaya bahawa hanya ilmu-ilmu tertentu seperti ilmu sains dan lain-lain yang terpisah dengan agama sahaja yang dapat membawa manusia kepada kemajuan dan ketamadunan. Ini semua merupakan petanda ke arah memisahkan agama daripada kehidupan manusia yang akan meyebabkan manusia hidup dalam budaya yang rosak dan jauh dari rahmat Allah s.w.t.

Hadirin Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Memisahkan agama daripada hal-hal keduniaan akan memberi kesan yang cukup besar kepada pembangunan dan pembentukan akhlak manusia. Terdapat segelintir masyarakat hari ini beranggapan bahawa akhlak merupakan hal individu yang tidak ada hubung kait dengan kuasa pemerintah serta mereka tidak mahu pihak berkuasa campurtangan dalam menentukan hal-hal mereka p dan perlu diberi kebebasan untuk melakukan apa yang diinginkan tanpa perlu ada sekatan daripada agama mahupun pemerintah dengan alasan bertentangan dengan hak asasi manusia dan menggugat hak kebebasan individu.

Maka, fahaman seumpama ini sangat-sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w., kerana Islam merupakan suatu agama yang sempurna lagi lengkap mengatur seluruh kehidupan manusia meliputi pelbagai bidang seperti ibadah, mu’amalat, munakahat, jenayah dan sebagainya.

Kerana itu, kita sebagai orang yang mengakui beriman kepada Allah s.w.t. hendaklah menjadi umat yang kuat dan tidak akan mudah diseleweng atau terpesong dengan fahaman tersebut atau bertindak mengikut kemahuan hawa nafsu semata-mata. Disebabkan kita yakin bahawa dalam Islam kebebasan manusia bukanlah membawa maksud manusia itu bebas melakukan apa saja sesuka hati mereka, kerana Allah s.w.t. telah menetapkan batasan dan peraturan yang mesti dipatuhi oleh setiap manusia yang mukallaf dengan ketentuan halal dan haram begitu juga soal ganjaran pahala dan dosa.

Dalam Islam, kamajuan material sahaja bukanlah kamajuan yang utama yang ingin dicapai, kerana Islam juga menitik beratkan soal pembangunan modal insan iaitu melahirkan insan yang berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, bermanfaat untuk diri sendiri, masyarakat dan negara. Berasaskan konsep inilah Islam muncul sebagai agama yang menjamin keharmonian, kesejahteraan, kebahagian dan kedamaian.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,

Justeru, mimbar jumaat pada hari ini ingin mengajak para jamaah dan seluruh umat Islam agar sama-sama menghayati dan memahami tanggungjawab memelihara jati diri sebagai seorang muslim. Kita perlu melihat adakah kita telah melaksanakan semua perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangannya, seperti menjadi hamba yang tetap melaksanakan ibadah-ibadah yang khusus seperti sembahyang, berpuasa dan ibadah-ibadah yang umum seperti melaksanakan tugas dan tanggungjawab, menyayangi keluarga, menunaikan tanggungjawab sesame manusia, bercakap benar, memakan makanan yang halal, mencari sumber pendapatan yang halal dan sebagainya. Kerana sebagai seorang muslim kita sentiasa dituntut agar berusaha mendekatkan diri serta mencari keredhaan Allah s.w.t.

Maka, marilah sama-sama kita berusaha memelihara dan memantapkan diri, keluarga dan masyarakat kita dengan sentiasa mempertingkatkan jati diri agar tidak terpengaruh dengan sebarang fahaman yang boleh menyesatkan serta merugikan kita sebagai seoarang muslim di antaranya :

Pertama : Memiliki keimanan yang mantap

Sebagai seorang muslim sejati hidup kita hendaklah sentiasa didasarkan atas keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. sepanjang masa. Sekiranya berlaku pengabaian terhadap pengukuhan keimanan kepada Allah maka sudah tentu perjalanan hidup seseorang akan mudah diseleweng dan terpesong menurut kemahuan hawa nafsu semata-mata. Maka kerana itulah keimanan yang mantap adalah penting sebagai penghalang daripada terjerumus ke lembah maksiat disamping ia mengatur perjalanan hidup yang selamat dan diredhai Allah s.w.t.

Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 2 :


Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah yang apabila disebut nama Allh (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah ( bertawakal )”.

Kedua : Berusaha menjadi insan berjiwa merdeka

Kita sebagai seorang muslim sejati hendaklah sentiasa berusaha membebaskan diri dari sebarang belenggu, terutama mengatasi belenggu penjajahan pemikiran dari pemikiran yang jumud kepada terbuka ke arah kemajuan dan pembaharuan serta menghasilkan pemikiran baru bagi kebaikan diri, masyarakat dan umat Islam. Seterusnya kita hendaklah menolak fahaman serta amalan-amalan negatif yang boleh merosakkan dan menghancurkan umat Islam.

Oleh itu, perkara yang paling utama ialah membebaskan pemikiran kita dari sebarang bentuk ketergantungan kepada sesuatu yang lain selain dari Allah s.w.t. yang boleh membawa kita kepada syirik terhadap Allah. Kerana sesungguhnya melakukan syirik terhadap Allah merupakan suatu dosa dan kezaliman yang besar.

Firman Allah dalam surah Lukman ayat 13 :


Yang bermaksud : “Sesungguhnya perbuatan syarik itu adalah satu kezaliman yang besar " .


Ketiga : Melaksanakan Amar Ma’aruf dan mencegah Nahi Mungkar

Sebagai seorang yang beriman dengan Allah s.w.t. serta mengakui kita sebagai seorang muslim sejati, maka sudah tentu kita tidak dapat lari dari tanggungjawab melaksanakan semua perintah Allah dan perkara-perkara ma’aruf serta meninggalkan semua yang mungkar, kerana ianya merupakan salah satu usaha dakwah dalam Islam. Maka sudah tentu tugas menyeru manusia kearah kebaikan menjadi keutamaan sesuai dengan ajaran Islam yang membawa maksud selamat dan sejahtera.

Firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 110 :


Yang bermaksud : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.

Dalam ayat ini, sekiranya setiap muslim melaksanakan tanggungjawab amar ma’aruf dan nahi mungkar, maka sudah pasti kita akan menjadi “khaira ummah” iaitu ummah yang unggul dalam erti kata menjadi ummah contoh yang diikuti sepanjang zaman.

اعوذ بالله من الشيطان الرجيم :


( Surah al-Hujurat ayat : 15 )

Yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)”.



بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِىْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.





دسدياكن اوليه : جباتن كماجوان إسلام مليسيا, فوتراجاي.
( سيلا سيمق ترلبيه دهولو خطبة جمعة اين سبلوم دباخ داتاس منبر )

Tidak ada komentar: